CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, March 18, 2009

MENGENALI SIFAT SEORANG PENGHUNI SYURGA

Pada suatu hari, Rasulullah bersabda kepada sahabat, “Sebentar lagi seorang penghuni syurga akan masuk”. Mendengar khabar itu semua mata tertumpu ke pintu masjid. Dalam fikiran sahabat terbayang watak orang yang luar biasa.
Tiba-tiba masuklah seorang lelaki yang mukanya masih basah dengan wudhuk. Penampilannya biasa sahaja dan bukannya orang terkenal. Namanya ialah Abu Umamah Ibnu Jarrah. Keesokan harinya, peristiwa tersebut berulang. Begitu juga dengan hari-hari seterusnya. Sahabat menjadi hairan, amalan apa dilakukan orang itu sehingga Rasulullah SAW menyebutnya calon penghuni syurga.
Di kalangan sahabat, Abdullah bin Amr bin Ash’ meminta izin kepada Abu Umamah untuk bermalam di rumahnya selama 3 hari. Tiga hari tiga malam Abdullah memperhatikan, meneliti bahkan mengintip tuan rumah. Namun tidak ada suatu pun yang istimewa. Hari dilalui tidak jauh berbeza dengan sahabat lain. Ibadatnya pun biasa sahaja.
Pasti ada sesuatu yang disembunyikan. Aku mesti berterus terang kepadanya, ujar Abdullah. Ia pun bertanya, “Amalan apakah yang engkau lakukan sehingga Rasulullah SAW memanggilmu calon penghuni syurga?”. Jawapan Abu Umamah sungguh mengecewakan, “Apa yang engkau lihat itulah amalanku”.
Ketika Abdullah hendak pergi, tiba-tiba tuan rumah berkata “Wahai saudaraku, sesungguhnya aku tidak pernah iri hati dan dengki terhadap nikmat yang Allah berikan kepada kepada orang lain. Sebelum tidur aku selalu bersihkan hati daripada ujub, takbur, dengki dan rasa dendam”.
Jelaslah di sini, hanya orang berhati bersih yang akan memasuki syurga tertinggi, juga bertemu dengan Al-Khaliq, Allah Azza Wa Jalla. Firman Allah yang bermaksud :
“Dan janganlah engkau hinakan aku pada hari mereka dibangkitkan (iaitu) di hari harta dan anak pinak tidak berguna, kecuali orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih.” (Surah as-Syu’araa, ayat 78)
Kebersihan hati adalah kunci untuk membuka pintu syurga. Sekecil mana pun amalan, tetap akan dapat memasukkan orang ke syurga, asalkan ia memilki hati bersih. Sebailknya sebanyak mana pun amalan, tidak akan bererti sama sekali apabila kita memilki hati penuh penyakit. Oleh itu, selain sibuk memperbanyakkan amalan kebaikan, hendaklah menjaga hati daripada penyakit membahayakan kerana sia-sia saja menghiasi diri dengan amalan wajib mahupun sunat sedangkan hati tidak pernah dibersihkan. Sebaliknya walaupun amalan kita biasa sahaja, namun hati bersih, maka nilainya akan jauh lebih tinggi di hadapan Allah.

0 comments: